PONGGAL
Perayaan
Ponggal diraikan oleh kaum India pada pertengahan bulan Januari bagi merakamkan
Uttarayan atau pergerakan matahari menuju ke utara. Diraikan selama empat hari
berturut-turut, Ponggal termasuk Bhogi merupakan acara terbesar selepas
sambutan Deepavali dan Thaipusam. Jika di India, perayaan ini disambut lebih
meriah daripada Deepavali selama seminggu. Di Malaysia, tidak kurang hebatnya
peranan yang dimainkan dalam seisi keluarga.
Bhogi
Pada
hari pertama perayaan ini, Bhogi yang membawa maksud yang cukup signifikan
menandakan permulaan penting dalam kehidupan masyarakat India.
Seluruh
rumah dibersihkan dan barang-barang lusuh dibuang dan dibakar bagi
menyingkirkan anasir-anasir buruk. Bhogi juga secara tidak langsung memberi
penghormatan kepada Dewa Indra atau Dewa Langit dan Hujan yang menyuburkan
tanah selepas hampir setahun bercucuk tanam.
Surya
Ponggal
Pada
hari kedua, Surya Ponggal disambut dengan meriah di rumah masing-masing. Surya
Ponggal memberi penghormatan kepada tenaga matahari dan bermulanya hari pertama
bulan Thai dalam kalendar Tamil. Seawal pukul 5 pagi, penganut-penganut agama
Hindu di Malaysia, India dan di serata dunia membuat persiapan untuk memasak
Ponggal dalam periuk tanah liat. Kaum wanita yang sudah berkahwin dan anak dara
akan bangun awal untuk membentuk ‘kolam’ menggunakan beras berwarna di halaman
rumah. Pintu rumah diikat dengan tebu dan periuk tanah liat dihias dengan daun
mangga, daun kunyit dan pewarna ‘kum kum’ bagi menceriakan lagi suasana.
Amalan
ini amat simbolik terutamanya kepada golongan petani. Ia bukan sahaja merupakan
hari pertama padi dituai tetapi beras yang dikumpul digunakan untuk memasak
Ponggal sehingga ia melimpah keluar. Perbuatan membiarkan masakan ini melimpah
dikenali sebagai Ponggal dalam bahasa Tamil. LIMPAHAN Ponggal bermaksud
kehidupan yang serba baik. Ketika susu melimpah, ungkapan ‘Ponggal O Ponggal,
Ponggal O Ponggal, Ponggal O Ponggal’ disebut sebanyak tiga kali oleh penganut
agama Hindu yang mengelilingi periuk tanah liat berhias yang digunakan untuk
memasak susu itu.
PONGGAL
yang melimpah juga membawa maksud bahawa hidup seseorang akan dilimpahi
kemakmuran, kesejahteraan dan keamanan.
Susu
ini kemudiannya dicampur dengan beras, gula merah, buah pelaga, badam, buah
gajus, kismis dan minyak sapi sebelum disembahyangkan serta diedarkan kepada
para penganut.
Mattu Ponggal
Pada
hari ketiga sambutan Ponggal iaitu atau Ponggal lembu, lembu-lembu dimandikan,
dibubuh kunyit pada tanduknya dan badan serta dikalungkan dengan bunga. Ponggal
yang dimasak juga disuapkan kepada lembu dan haiwan-haiwan ternakan lain
seperti yang disaksikan di Kuil Sri Srinivasa Perumal.
Lembu
dianggap sebagai haiwan yang berjasa dan suci oleh para petani kerana membantu
membajak tanah dan memberi susu yang berkhasiat, jelas Balakrishnan lagi.
Pada
hari ini juga, haiwan-haiwan itu dibiarkan berehat.
Kanni
Ponggal
Ponggal
terakhir pada hari keempat ialah Kanni Ponggal. Kanni bermaksud anak dara dan
seperti namanya, mereka yang sudah mencapai akil baligh digalakkan untuk
memasak Ponggal sama ada di rumah atau beramai-ramai di kuil. Kanni Ponggal
juga secara tidak langsung menarik perhatian ibu bapa untuk mencari jodoh untuk
anak-anak lelaki mereka.
Penduduk
di bahagian selatan Tamil Nadu menyambut perayaan ini seumpama sambutan Tahun
Baru. Pelbagai acara seperti pertandingan Jallikattu (pertandingan antara
manusia dan lembu) dan Selambam (seni mempertahankan diri) diadakan di Madurai,
Tiruchirapalli dan Tanjavur. Sungguhpun permainan ini tidak menyerlah di
Malaysia, namun Ponggal tetap disambut dengan penuh meriah mengikut adat.
Kosmo
24 mac 2009 Oleh SUBASHINI RAJANDRA